Seorang lelaki dan dua kanak-kanak maut manakala empat lagi cedera parah dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan.
Kemalangan berlaku di Kilometer 3.5 Jalan Ipoh, Lumut, awal pagi tadi.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.15 pagi.
Katanya, ketika kejadian mangsa Muhammad Syafiq Isyammudin, 25, yang ketika itu memandu kenderaan jenis Mitsubishi Triton, bersama dua wanita dan dua kanak-kanak dalam perjalanan dari Ipoh ke Lumut.
Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian sebuah kenderaan jenis Mazda 3 yang datang dari arah bertentangan bergesel dibahagian kanan kereta mangsa dan menyebabkan kenderaan mangsa terbabas memasuki laluan bertentangan.
Sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Camry dari arah bertentangan cuba mengelak kenderaan mangsa namun gagal, mengakibatkan kenderaan Toyota Camry itu berpusing sebelum melambung dan merempuh kenderaan mangsa.
Rempuhan kuat mengakibatkan mangsa dan dua lagi kanak-kanak berusia lingkungan dua tahun tercampak keluar dari kenderaan dan maut di tempat kejadian.
Manakala empat lagi mangsa cedera parah dikenali sebagai Nurul Nadia Baharizan 28, Khalijah Samad 79, Thean Yew Weng 25 dan Cheah Chee Choong 34 tahun.
Kesemua mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menerima rawatan.
Manakala mayat dibawa ke Jabatan Forensik di hospital yang sama untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.